Misteri!
Susu Meleleh Keluar Tanpa Henti Daripada Mulut Seorang Gadis
Seorang ibu terkejut melihat mulut anak gadisnya mengeluarkan
susu tanpa henti sejak ia jatuh sakit. Persoalannya, mengapakah semua ini
terjadi atau ia dikaitkan dengan satu sumpahan?
Misteri! Susu Meleleh Keluar Tanpa
Henti Daripada Mulut Seorang Gadis | Sejak dari kita lahir lagi,
kita telah dididik dan diajar supaya sentiasa menghormati orang yang lebih tua
daripada kita. Terutamanya ibu dan bapa. Bagi seorang ibu, jika anaknya derhaka kepadanya maka jika dia berdoa maka
Allah SWT akan membalasnya sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Kisah ini
menceritakan tentang seorang gadis yang cuba menderhaka kepada ibunya dengan
mengeluarkan kata-kata kesat, akhirnya dirinya jatuh sakit. Ikuti kisah di
bawah ini.
“Kalau betul engkau anak kandung
aku, minum susu dari badan aku…aku sumpah akan keluar balik susu dari mulut
engkau!” Itulah
kata-kata sumpahan yang ditujukan ibu kepada saya. Sejak hari itulah saya jatuh
sakit. Susu sentiasa meleleh dari mulut saya tanpa henti. Tubuh saya yang
dahulunya agak comel jadi kurus melidi tak ubah seperti mayat hidup. Saya
terbaring dan menyesali perbuatan lampau saya terhadap ibu.
Tetapi sejahat mana pun seorang
anak, ibu tetap mengambil berat sewaktu saya terlantar. Ibu juga risau melihat
keadaan saya, hari demi hari semakin teruk. Ibu serba salah dan tidak tahu apa
yang patut dilakukan untuk membantu saya. Ibu juga memberitahu saya, menyesal
menyumpah saya. Ibu tidak menyangka begitu kuat sumpahan seorang ibu.
Waktu itu hanya tuhan yang tahu
betapa seksanya termakan sumpah seorang ibu. Sebulan saya merana kerana
sakit. Sebulan itu juga saya tidak makan nasi.
Saya langsung tidak ada selera untuk
makan nasi. Biarlah saya lapar begini daripada merana seperti ini. Setiap saat,
susu sentiasa mengalir dari mulut saya tanpa mengira masa…
Saya masih ingat , kejadian itu
berlaku ketika tiga orang rakan saya datang ke rumah. Sambil berborak, ibu
bertanya kepada mereka. “Kamu ni kerja apa?” Tanya ibu kepada
rakan-rakan saya.
“Kami semua kerja kilang kat hujung
kampung ni mak cik,’ jawab tiga rakan saya. Ibu terdiam lalu pergi keruang tamu
dan duduk di kerusi. Saya buat tidak kisah dengan fiil ibu dan terus ke dapur
membuat air untuk di hidang. Waktu itu saya masih ingat saya buat air Milo
panas.
Sebaik siap , saya bawa air di dalam
teko itu keruang tamu. Tapi, belum sempat meletakkannya di atas meja,
ibu terus mengherdik saya.
“Kalau hari-hari engkau hidang air
bagi orang makan percuma larilah perbelanjaan kita! Dah, hentikan. Simpan balik
air tu!” herdik ibu kepada saya.
Saya merasa malu. Kawan saya semua
terdiam kerana merasa terkejut dengan sikap ibu.Saya beritahu ibu supaya
jangan berbuat begitu di depan kawan-kawan. Malu!
Sepatutnya ibu harus bersyukur ke
hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya di beri rezeki melimpah-ruah dan
kami sekeluarga tidak lagi perlu kais pagi makan pagi.
Saya tidak setuju dengan perangai
ibu menghina orang miskin. Sebaliknya rakan-rakan yang setaraf atau lebih kaya dari
kami dilayannya seperti raja. Mereka diajak datang kerumah dan dihidangkan dengan
pelbagai makanan sedap-sedap. Saya betul-betul malu dan terkilan dengan sikap
buruk ibu.
Saya ingatkan ibu, dulunya kami
sekeluarga pun susah seperti mereka juga. Setelah hidup senang, kita
herdik-herdik mereka. Apa perasaan mereka apabila ibu buat begitu?
“Ah! Kau apa tau? Bukan kau yang
cari duit ! Aku ni yang susah payah cari duit siang malam, kau
senang-senang saja nak menghabiskan!” tambah ibu lagi.
Ketika itu saya seperti orang hilang
akal. Saya tidak dapat terima cara ibu memarahi saya di depan kawan-kawan. Tidak
semena-mena tangan saya yang sedang memegang teko air Milo panas dihayun lalu
tersimbah ke muka ibu.
Ibu melolong-lolong menjerit
kesakitan terkena simbahan air Milo panas. Saya mula menyinga. Kawan-kawan
terkejut dengan tindakan saya dan cuba menenangkan saya. Tetapi ketika itu saya
bagai dirasuk syaitan. Tanpa sedar, saya terus berlari ke dapur
mengambil sebilah pisau pemotong sayur.
Sekali lagi kawan dan ayah saya
menahan perbuatan saya. Mereka memegang saya dengan sekuat hati. Ibu berlari
dan keluar ke pintu depan rumah takut ditetak pisau di tangan saya. Ibu berdiri
tercegat di situ. Saya pula terjerit-jerit seperti terkena hysteria.
Disinilah bermulanya episod duka
dalam sejarah hidup saya apabila ayat ini terpancul dari mulut ibu.
“Kalau engkau betul anak kandung
aku, minum susu dari badan aku, aku sumpah akan keluar balik susu dari mulut
engkau!”
Selepas keadaan reda sedikit,
rakan-rakan balik rumah. Tiga hari selepas kejadian itu, saya terus jatuh
sakit. Saya di serang demam teruk. Ayah bersusah payah menjaga saya. Ibu hanya
buat-buat tidak tahu sahaja. Mungkin ibu masih lagi geram dan marah dengan
tindakan saya. Ketika itulah berlaku satu kejadian pelik yang tidak pernah saya
bayangkan sebelum ini.
Tiba-tiba air susu berwarna putih dan
berbau busuk mula meleleh dari mulut saya tanpa henti. Air susu masam itu jatuh
membasahi dagu saya setiap detik tanpa henti.
Ayah juga merasa hairan melihat susu
aneh tiba-tiba meleleh dari mulut saya. Setiap kali dikesat, air susu itu
meleleh lagi tanpa henti. Ibu pula masih tidak endahkan saya.
Keesokan harinya saya masih lagi
demam dan susu masih lagi mengalir. Kali ini lebih teruk. Ayah membawa saya ke
sebuah klinik.
Anehnya selepas diperiksa, doktor
juga mengatakan hairan, mengapa susu masam itu meleleh dari mulut saya. Doktor
pun tidak dapat menjelaskan punca dan sebab saya mengalami penyakit
aneh ini. Doktor juga mengatakan tiada ubat untuk merawat penyakit yang saya
alami ini.
Ayah bawa pula saya ke hospital
besar di Bandar. Keputusannya tetap sama juga apabila doktor tidak dapat
mengenal pasti punca penyakit saya. Jadi saya dibawa pulang semula dan
terbaring siang malam. Selama sebulan saya terlantar ibu mulai risau dengan
keadaan saya yang semakin kurus ini. Ibu beberapa kali meminta maaf
kepada saya kerana tidak menyangka kata-kata yang dilafazkannya betul-betul
menjadi kenyataan.
Akhirnya ibu sendiri pergi berjumpa
dengan seorang ustaz di kampong saya. Ustaz ini memang dikenali ramai kerana
kealiman dan kehebatan ilmunya. Ibu membawa ustaz ini berjumpa saya di rumah.
Apabila ustaz melihat keadaan saya, beliau terus menggeleng-gelengkan kepala.
“Ada tak apa-apa yang ibu kamu buat
sebelum terkena penyakit ini?” Tanya ustaz itu. Ayah lalu menceritakan tentang
perbuatan saya menyimbah air panas ke muka ibu. Selepas itu, ibu terus
mengeluarkan kata-kata sumpahan tentang air susu yang pernah di minum ketika
saya masih bayi.
Sekali lagi ustaz itu
menggeleng-gelengkan kepalanya. Ustaz itu dalam nada perlahan
memberitahu saya terkena sumpahan ibu. Ustaz itu lalu mengajak ibu dan ayah
saya ke dapur.
Ustaz itu menerangkan penyakit saya
tidak ada ubatnya kecuali meminum air bekas celupan tapak tangan dan tapak kaki
ibu. Ustaz itu menyuruh ibu membasah kedua-dua tangannya di dalam baldi diikuti
kedua-dua belah kakinya seperti orang mengambil wuduk.
Ustaz itu menerangkan penyakit saya
tidak ada ubatnya kecuali meminum air bekas celupan tapak tangan dan tapak kaki
ibu.
Setelah selesai, ustaz itu menyuruh
ibu meludah di dalam baldi itu sebanyak tiga kali. Kemudiannya air ludah di
dalam baldi itu disimpan di dalam sebuah bekas khas. Utaz itu berpesan kepada
ibu supaya memberi air ludah itu untuk diminum oleh saya dan selebihnya disapu
di ubun-ubun kepala saya sehingga habis.
Selepas ibu memberi minum dan
menyapu air ludah itu di kepala, pada masa itu juga saya terus merasa lapar dan
meminta nasi untuk dimakan. Selera saya yang tersekat selama sebulan lebih
datang kembali. Mujarab sungguh cara rawatan ustaz ini. Serta merta air
susu masam yang meleleh sejak sebulan lalu berhenti mengalir.
Saya mencium kaki ibu. Saya
menangis. Saya menyesal berdosa kepada ibu. Ibu memberitahu sejak kejadian, ibu
telah memafkan perbuatan saya. Ibu memeluk saya dan kami bertangis-tangisan di
depan ustaz. Ustaz itu membacakan doa dan menasihati ibu supaya tidak
mengeluarkan kata-kata sumpahan terhadap anak. Ustaz itu mengingatkan
bahawa sumpahan seorang ibu amat ampuh dan berkesan terhadap seorang anak.
Akibatnya sangat buruk dan tiada penawarnya kecuali anak itu diberi ampun
selain meminum air kaki dan tangan ibunya dengan ikhlas dan redha.
Sejak hari itu, saya tidak lagi
meninggikan suara kepada ibu. Ibu juga sedar kesilapan yang telah dilakukan
sebelum ini. Yang paling penting, ibu tidak lagi sesombong dahulu! Ibu juga
tidak kedekut dan suka menghina orang susah.
Saya ingin berpesan kepada pembaca,
jangan sesekali bertindak biadab terhadap ibu biar sejahat mana sekalipun ibu
kita. Saya sudah merasai betapa sengsara, merana dan terasa ajal hendak
tercabut akibat disumpah ibu. Ingat, sumpahan seorang ibu itu adalah
benar kerana ianya telah benar-benar menimpa keatas diri saya sendiri.
‘Saya’ dalam artikel ini adalah
Roseyatimah bt Ahmad, berasal dari Sabah. Kejadian berlaku ketika beliau
berusia di awal remaja. Kini beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Walaupun
berjauhan, Rose tetap sayang dan menghormati ibunya.
Melayukini.net - Cerita ini dikatakan dipetik
dari malajah Mastika 2010. Walaubagaimanapun, terpulang kepada para pembaca
untuk mempercayai atau sebaliknya. Cuma agak musykil dengan kaedah rawatan yang
terpaksa minum air celupan tangan dan kaki ibunya. Namun pengajaran di
sini, jangan sesekali kita menyakiti hati ibu kita. Wallahu’alam.